Wednesday, November 6, 2013

Bukan Semua Yang Kita Mahu, Kita Dapat.

Tidak semua benda yang kita inginkan tercapai,
Tidak semua yang kita harapkan akan menjadi realiti.

Dalam dunia ini, bukan semua benda yang kita hajatkan kita akan capai. Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa yang kita hajati. Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi. Tetapi tidak berjaya untuk kita mendapatkannya.


Dalam banyak-banyak perkara yang pernah berlaku dalam hidup ini. Aku tertarik kepada namanya JODOH. Setiap orang pernah rasa dicintai dan dikasihi? Pernah juga rasa tidak dihargai? Pernah juga rasa dicurangi dan ditinggalkan? Setiap kisah yang terjadi, mempunyai pelbagai corak sejarah dan ceritanya. Aku juga sama, tidak terlepas dari dugaan itu :) Dan setiap perhubungan itu pastinya ingin diakhiri dengan cintaHalal, namun adakah dia JODOH dariNya untuk kita. Mulalah jiwa dan perasaan menghantui menanyakan, mengapa kita dipertemukan dengan orang yang salah, dan kenapa kita mesti mencintai dan dicintai dengan mereka yang akhirnya bukan untuk kita? Ada juga yang apabila disaat mereka ingin diijabkabulkan, sesuatu yang tidak diinginkan terjadi. Malahan ada juga yang tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab, tetapi terpaksa menikahi dengan mereka yang langsung kita tidak kenal. Kita perlu tanya sama diri kita mungkin boleh jadi apa yang kita hajatkan, apa yang kita mahu, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi. Oleh demikian, perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH. Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa ianya terjadi.

Kekadang ada juga  terfikir akan ketidaksempurnaan ini, ada mereka yang sangat cantik (dari semua segi) tapi apabila berkahwin, tidak mempunyai anak atau mendapat suami yang tidak sempurna, ada juga mereka yang sangat cantik juga tapi lemah didalam pelajaran, ada mereka yang tidak cantik (hodoh dan gemuk) tapi pintar dalam pelajaran. Ada mereka yang memdapat suami yang kaya, dan mempunyai pekerjaan yang hebat, tetapi tidak mempunyai anak, ada juga yang pintar dan cantik tetapi mempunyai sifat amarah yang sangat ketara dan tiada kawan yang ingin dekat dengannya, ada juga yang baik hati dan  murah hati, selalu bersedekah, tapi punya isteri yang bermulut tempayan, suka menceritakan keburukan orang dan sangat memalukan suaminya, serta ada juga mereka yang hendak sangat anak, tapi tidak diberikan anak oleh Allah SWT, manakala yang tidak mahu anak, itulah orang yang dapat anak.


Banyak lagi yang kita tahu tentang perkara ini. Sangat biasa berlaku disekeliling kita. Ini membuktikan Allah Maha Adil. Manusia tidak sempurna, sangat sangat tidak sempurna bukan semua yang cantik dan baik ada pada seorang manusia. Allah tidak akan memberi semua perkara baik kepada satu orang. Allah akan memberi juga yang tidak sempurna, untuk membolehkan kita tahu diri.

"Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa"

Allah itu Maha Penyayang. Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagiaan dari kasih sayangNya.Jadi, jangan pernah kecewa apabila apa yang dihajatkan tidak tercapai. Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai. Sekiranaya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa kita akan tidak berbeban. Hal ini kerana, kita sentiasa positif. Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain. InsyaAllah.

"Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap ku.
(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)


Hakikatnya itulah lumrah. 


No comments:

Post a Comment